PRN Sabah: Agihan kerusi masih dirunding

PRN Sabah: Agihan kerusi masih dirunding

Bersatu Sabah masih berunding dengan rakan parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mengenai agihan kerusi bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September depan.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata pihaknya sedar Bersatu mungkin tidak dapat 45 kerusi seperti diumumkan sebelum ini dan sedia bertolak ansur bagi mencapai matlamat memenangi pilihan raya itu.

Jelasnya, beliau telah beberapa kali berjumpa Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengenai agihan kerusi, khususnya antara kedua-dua parti, namun belum ada kata putus setakat ini.

“Pada dasarnya kita mempunyai tujuan sama iaitu untuk memenangi PRN. Maknanya kita tidak boleh bertembung dalam kalangan parti yang bekerjasama di bawah PN.

“Kita sentiasa bertolak ansur. Kalau kita gaduh berebut kerusi tetapi akhirnya kalah dalam pilihan raya ini, matlamat kita untuk memerintah negeri tidak tercapai.

“Jadi perkara ini amat penting diberikan perhatian dan Bersatu terbuka untuk berunding,” katanya pada sidang media selepas menerima kemasukan bekas ahli Parti Warisan Sabah (Warisan) di Kampung Baru-Baru, Tuaran.

Hajiji yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, berkata pihaknya menjangkakan agihan kerusi dapat diselesaikan seminggu sebelum hari penamaan calon pada 12 September.

Mengenai calon Bersatu, beliau berkata 60 peratus adalah muka baharu, dengan keutamaan diberikan kepada calon yang memiliki ciri-ciri boleh menang.

Pada masa ini, katanya, Bersatu Sabah memiliki 105,000 ahli dan ia dijangka bertambah kepada kira-kira 200,000 ahli menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, beliau berkata jentera Bersatu Sabah juga sudah sedia untuk digerakkan di semua bahagian seluruh negeri.

“Sebelum DUN dibubarkan lagi, kita sudah buat persediaan. Mulanya persediaan itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tetapi DUN tiba-tiba dibubarkan, namun jentera kita sudah bersedia,” katanya.