PRU15: Jika PAS sedia guna lambang PN, Umno kekal guna dacing

PRU15: Jika PAS sedia guna lambang PN, Umno kekal guna dacing

Pendirian Umno untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) tetap tidak berubah di sebalik berita sekutunya PAS akan bersama gabungan tersebut.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata jika benar PAS menyertai PN, Umno tetap dengan pendirian untuk tidak menyertainya sebagai parti komponen untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, jika PAS bersedia menggunakan lambang PN dalam PRU15 akan datang, Umno tetap dengan pendirian untuk kekal menggunakan lambang Barisan Nasional iaitu Dacing.

“Yang penting, Umno tetap berpegang kepada Piagam Muafakat Nasional (MN) yang telah dimeterai dan disaksikan umat dengan linangan air mata.

“Yang penting, Umno-BN dan PAS-PN terus kekal bekerjasama dan bermuafakat untuk menghadapi PH (Pakatan Harapan) dengan mengelakkan pertandingan tidak penjuru,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan parti itu telah menyertai PN dan menjadi antara parti penaja untuk MN.

Beliau berkata tidak menjadi masalah jika Bersatu menyertai MN, malah akar umbi PAS juga menerima parti tersebut.

Dalam reaksinya berhubung keputusan PAS itu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN tidak mencampuri urusan PAS untuk menyertai jawatankuasa penaja bagi mendaftar PN.

Malah, tegas Ahmad Zahid, BN ataupun Umno tetap dengan keputusan mereka untuk tidak menyertai PN.