Tak salah tubuh parti gabungan sebagai ‘option’ masa depan – Annuar Musa

Tak salah tubuh parti gabungan sebagai ‘option’ masa depan – Annuar Musa

Muhammad Mustakim Ramli

Menubuhkan parti bersifat gabungan dan mendaftarkannya tidak salah sebagai pilihan pada masa depan, kata Tan Sri Annuar Musa.

“Menubuhkan parti bersifat gabungan memerlukan sekurang-kurang dua parti protem untuk tujuan pendaftaran.

“Tidaklah salah untuk mendaftarnya sebagai option (pilihan) masa depan.

“(Bagaimanapun) Umno kekal dengan BN (Barisan Nasional) serta komited memperkasakan MN (Muafakat Nasional) sebagai landasan muafakat ummah dan penyatuan Melayu,” katanya menerusi ciapan di Twitter @AnnuarMusa.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan parti itu telah menyertai PN dan menjadi antara parti penaja untuk MN.

Beliau berkata tidak menjadi masalah jika Bersatu menyertai MN, malah akar umbi PAS juga menerima parti tersebut.

Dalam reaksinya berhubung keputusan PAS itu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN tidak mencampuri urusan PAS untuk menyertai jawatankuasa penaja bagi mendaftar PN.

Malah, tegas Ahmad Zahid, BN atau Umno tetap dengan keputusan mereka untuk tidak menyertai PN.

Sementara itu, menerusi ciapan berasingan mengenai situasi politik di Sabah, Annuar berkata Umno dan BN Sabah sudah diberi mandat dan terus mara.

“Soal kepelbagaian pendapat dalaman adalah lumrah dan kita urus baik-baik Insya-Allah… lagipun Umno tidak berhasrat untuk bersendirian. Umno Sabah sedia muafakat demi rakyat Sabah,” katanya.