Tunggu sajalah kenyataan KKM – Khairuddin

Tunggu sajalah kenyataan KKM – Khairuddin

Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata sebagai anggota Kabinet yang bertanggungjawab, beliau akan akur dengan apa juga kenyataan yang bakal dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia berhubung dakwaan beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi melanggar arahan kuarantin selepas pulang dari luar negara, baru-baru ini.

“Tunggu sahaja kenyataan termasuk keputusan rasmi ujian Covid-19 KKM,” kata Ahli Parlimen Kuala Nerus itu di Kuala Terengganu malam tadi seperti dilaporkan Harian Metro.

Dr Khairuddin turut mengesahkan saringan ujian Covid-19 sudah dilakukan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ujian saringan itu dibuat selepas beliau mengadakan lawatan ke Turki pada 3 hingga 7 Julai lalu dan menghadiri sidang Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM menyiasat dakwaan Dr Khairuddin Aman ingkar perintah kuarantin itu.

“Jika diuji positif, beliau akan dimasukkan ke hospital dan jika diuji negatif, (beliau perlu melalui) kuarantin di rumah mandatori selama 14 hari,” katanya.