Video tular air ketum, KKMM siasat jika ada unsur buli

Video tular air ketum, KKMM siasat jika ada unsur buli

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan memperincikan semasa ada wujud undur buli siber dalam video tular seorang murid sekolah mengaku bapanya pandai memasak air ketum.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata tindakan orang ramai yang berkongsi sesuatu di media sosial berkemungkinan tidak menjangka akan menerima kecaman warganet, sehingga boleh menimbulkan tekanan.

“Macam kes video ini, mereka kongsi benda biasa sahaja, mengenai hal keluarga, sebenarnya tak ada apa pun tetapi orang ‘balun’ (kecam), jadi itu mungkin dah masuk dalam buli siber.

“Walaupun saya belum melihat (video) itu, namun saya akan selidik dan dapatkan maklumat lanjut mengenainya,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Saifuddin berkata, kementerian menerima banyak laporan daripada pelbagai pihak termasuk berkaitan pelajar sekolah menjadi mangsa buli dalam talian.

Tambahnya lagi, terdapat juga pihak yang meminta akta khusus bagi jenayah buli siber diwujudkan.

“Ramai pihak termasuklah ahli Parlimen yang menyatakan sudah tiba masanya kita wujudkan akta khusus untuk menangani buli siber ini.

“Apa yang boleh saya katakan, kita sekarang dalam kajian akhir Akta Anti Buli Siber, akta ini dijangka siap hujung tahun ini dan diharap draf cadangan itu dapat membantu menyelesaikan permasalahan berhubung buli siber ini,” katanya.

Semalam, satu video berdurasi 14 saat tular menunjukkan seorang murid mengangkat tangan dan memberitahu bapanya pandai memasak air ketum selepas menjawab soalan gurunya.

Video berkenaan menerima banyak kecaman warganet, termasuk reaksi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang menganggap tindakan sebegitu tidak wajar berlaku di sekolah.

Guru berkenaan pula menafikan beliau menyebarkannya, sebaliknya hanya berkongsi video itu dengan ibu murid berkenaan.