37 maut nahas bas terburuk di Genting Highlands, 7 tahun lalu

37 maut nahas bas terburuk di Genting Highlands, 7 tahun lalu

Muhammad Mustakim Ramli

Hari ini dalam sejarah apabila tujuh tahun lalu, seramai 37 orang terkorban dalam nahas bas yang dianggap terburuk dalam sejarah negara apabila bas dinaiki 53 orang terjunam 60 meter ke dalam gaung di KM 3.5 Jalan Genting Highlands, Pahang.

Mereka yang maut ialah 24 lelaki dan 13 wanita, sebahagian besarnya warga tempatan selain warga Korea Selatan, Kanada, Thailand, Nepal dan India.

Kemalangan itu juga mengakibatkan 16 cedera dengan 14 daripadanya dilaporkan kritikal.

Mereka yang cedera dirawat di Hospital Selayang, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Bentong.

Kemalangan jam 2.45 petang itu berlaku ketika bas berwarna kuning yang  menawarkan perkhidmatan ulang alik dari Kuala Lumpur ke Genting Highlands, menuruni jalan curam dari puncak peranginan itu menuju ke ibu kota.

Sebahagian mangsa kemalangan ngeri itu dipercayai tercampak keluar dari bas sejauh 200 meter selepas kenderaan terbabit terhumban ke dalam gaung.

Terdapat juga mangsa maut akibat terhimpit dan tercampak ke bahagian tempat duduk pemandu.

Operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa nahas ditamatkan 9.30 malam dan ia diumumkan Menteri Kesejahteraan  Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada waktu itu iaitu Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

“Gerakan untuk menyelamat telah selesai dan laporan yang kita terima ialah seramai 37 terkorban, 25 lelaki dan 12 perempuan,” katanya.

Sultan Pahang pada waktu itu, Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Shah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar turut berada di lokasi kejadian untuk melihat keadaan dan mendapatkan maklumat tentang operasi berkenaan.

Pasukan mencari dan menyelamat terdiri bomba, polis dan Jabatan Pertahanan Awam terpaksa menggunakan kren, pengusung, tali dan unit anjing K9 untuk mengesan dan mengeluarkan mangsa.

Susulan kes kemalangan itu, permit pengusaha bas yang terbabit digantung.




Kredit Foto: The Star & NSTP