Akhirnya Umno dan PAS secara rasmi jemput Bersatu sertai Muafakat Nasional

Akhirnya Umno dan PAS secara rasmi jemput Bersatu sertai Muafakat Nasional

Wan Faizal Ismayatim

Kerjasama tiga parti Melayu terbesar iaitu Umno, PAS dan Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hampir menjadi kenyataan.

Ia selepas Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan mesyuarat Muafakat Nasional (MN) telah menjemput Bersatu untuk menyertai gabungan berkenaan.

Mesyuarat itu pengerusikan bersama Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Saya dan Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) tandatangan surat jemputan kepada PPBM (Bersatu) berdasar kepada keputusan mesyuarat berkenaan,” katanya menerusi ciapan di Twitter lewat malam tadi.

Minggu lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata Majlis Tertinggi parti itu bersetuju untuk menyertai MN yang mendokong Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar atau ‘the grand coalition’.

“Insya-Allah, penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.

Bagaimanapun, dalam konteks PN, Ahmad Zahid sebelum ini menyatakan pendirian Umno untuk tidak menyertainya walaupun PAS dilaporkan telah menyertai PN.

Kelmarin, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan parti itu telah menyertai PN dan menjadi antara parti penaja untuk MN.

Beliau berkata tidak menjadi masalah jika Bersatu menyertai MN, malah akar umbi PAS juga menerima parti tersebut.

Dalam reaksinya berhubung keputusan PAS itu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN tidak mencampuri urusan PAS untuk menyertai jawatankuasa penaja bagi mendaftar PN.

Malah, tegas Ahmad Zahid, BN atau Umno tetap dengan keputusan mereka untuk tidak menyertai PN.

Ciapan Ahmad Zahid di Twitter malam tadi.