Bekas Setiausaha SPR dilantik jadi Pengerusi

Bekas Setiausaha SPR dilantik jadi Pengerusi

Fitri Nizam

Bekas Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh dilantik sebagai pengerusi suruhanjaya itu yang baharu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata Abdul Ghani dilantik bagi menggantikan Datuk Azhar Azizan Harun yang kini memegang jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong mengikut Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan telah memperkenankan pelantikan YBhg. Datuk Abdul Ghani bin Salleh sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Ghani dilahirkan pada 10 Mei 1958 di Kuala Kurau, Perak dan berumur 62 tahun.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan dan Pemasaran daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau pernah memegang beberapa jawatan antaranya sebagai Yang di-Pertua Majlis Daerah Kuala Langat, Selangor; Pengarah Jabatan Perancangan Korporat dan Pembangunan Masyarakat, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Pegawai Daerah Gombak, Selangor.

Jawatan terakhir beliau sebelum bersara wajib pada 10 Mei 2018 adalah sebagai Setiausaha SPR.

Mohd Zuki berkata, Agong turut berkenan melantik Datuk Nik Ali Mat Yunus sebagai Ahli SPR berkuatkuasa hari ini sehingga mencapat usia 66 tahun selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Nik Ali berusia 62 tahun dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Asia Tenggara daripada Universiti Malaya pada tahun 1981 serta Ijazah Sarjana daripada University of Hull, United Kingdom pada tahun 1991.

Sepanjang perkhidmatan, beliau memegang beberapa jawatan antaranya sebagai Penolong Pengarah di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Penasihat Ekonomi, Kedutaan Besar Malaysia di Filipina; Pegawai Pembangunan Negeri Pulau Pinang; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Pengarah, Unit Pemulihan Pasca Banjir, Jabatan Perdana Menteri.

Jawatan terakhir beliau sebelum bersara wajib pada 19 Mei 2018 adalah sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi.

Mohd Zukit berkata, dengan kelayakan dan pengalaman yang dimiliki, diyakini mereka akan dapat menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai Pengerusi dan Ahli SPR mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan dengan sempurna.

“Kerajaan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Azhar Azizan Datuk Seri Ramlan Ibrahim atas khidmat bakti sepanjang menjawat jawatan masing-masing sebagai Pengerusi dan Ahli SPR,” katanya.