Hafizh kembali berlumba 13 September

Hafizh kembali berlumba 13 September

Muhammad Mustakim Ramli

Pelumba dari Sepanyol, Alejandro Medina akan menggantikan pelumba negara bagi kelas Moto2, Hafizh Syahrin dalam saingan MotoGP Styria hujung minggu ini.

Perkara itu diumumkan pasukan Openbank Aspar Team menerusi ciapan di Twitter rasmi mereka yang turut mengesahkan Hafizh masih belum cergas sepenuhnya untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan seterusnya.

“Hafizh Syahrin disahkan kurang cergas untuk perlumbaan GP Styria dan dia akan cuba kembali berlumba semula pada GP San Marino (13 September),” kata kenyataan pasukan itu.

Sebelum ini, Hafizh terbabit dengan kemalangan ngeri selepas dia merempuh jentera Enea Bastianini yang menyebabkan jentera Hafizh berkecai di tengah litar tersebut.

Pelumba berusia 26 tahun itu bagaimanapun disahkan tidak mengalami kecederaan parah walaupun terpaksa direhatkan buat sementara waktu.

Aspar Team mengesahkan Alejandro Medina akan menggantikan Hafizh Syahrin minggu ini.