Jemputan ke atas Bersatu selari keputusan mesyuarat MN, MT Umno

Fitri Nizam

Tindakan Presiden Umno menandatangani surat menjemput Bersatu menyertai Muafakat Nasional (MN) adalah konsisten dengan keputusan mesyuarat MN dan pemakluman kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Berikutan itu, Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan berkata sebarang gambaran oleh pihak tertentu bahawa surat jemputan itu di luar pengetahuan kepemimpinan yang lain dalam parti tersebut adalah tidak tepat.

Menerusi satu kronologi ringkas dimuat naik di laman Facebook miliknya, Shahril berkata, dalam perjumpaan bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada 29 Julai lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan hasrat Bersatu untuk menyertai MN.

“Pada 6 Ogos lalu Mesyuarat Jawatan kuasa Perunding MN dipengerusikan kedua-dua Timbalan Presiden Umno dan PAS mengambil keputusan untuk menerima Bersatu masuk ke dalam MN.

“Pada masa sama, soal perbincangan agihan kerusi dan hal-hal lain akan diteruskan.

“Pada Mesyuarat MT dan Biro Politik Umno bertarikh 7 Ogos, perkara ini dilaporkan (keputusan terima Bersatu) kepada kedua-dua mesyuarat dan semua yang hadir jelas mengenai keputusan mesyuarat MN sehari sebelumnya,” katanya.

Shahril berkata, kronologi perjalanan perbincangan mengenai pelawaan terhadap Bersatu itu adalah hakikat dan keresahan akar umbi apabila perkara terbabit dilaporkan di media, juga adalah hakikat.

“Saya turut mempunyai pandangan tersendiri tetapi selaku Ketua Penerangan dan dalam soal besar seperti ini, biarlah ia dilontar dalam mesyuarat terlebih dahulu selagi masih boleh dibincang berlandaskan analisa landskap politik yang kian berubah sejak mesyuarat terakhir,” katanya.

Menurutnya lagi, melihat “mood” akar umbi, kenyataan ini mungkin kurang popular, tetapi berpegang kepada prinsip “berkata benar walaupun pahit”.

“Apa pun kaedah penyampaian pandangan kita dan apa pun kaedah untuk mengharmonikan antara dua hakikat yang saya sebut di atas, biarlah fakta kekal fakta,” katanya.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi mengesahkan mesyuarat MN telah menjemput Bersatu untuk menyertai gabungan berkenaan.

Mesyuarat itu pengerusikan bersama Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Saya dan Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) tandatangan surat jemputan kepada PPBM (Bersatu) berdasar kepada keputusan mesyuarat berkenaan,” katanya menerusi ciapan di Twitter.