Kluster Maju: Dua pekerja, seorang pelanggan positif

Kluster Maju: Dua pekerja, seorang pelanggan positif

Fitri Nizam

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat satu kluster baharu yang dikesan di sebuah restoran di Titiwangsa, Kuala Lumpur membabitkan tiga individu.

KKM ketika memaklumkan perkembangan terkini situasi Covid-19 di negara ini berkata, dua kes pertama membabitkan kluster berkenaan dikesan pada 16 Ogos lalu.

“Mereka merupakan pekerja di restoran tersebut yang dikesan hasil saringan rawak ke atas pekerja restoran dan kedai makan yang telah dijalankan di sekitar bandar raya Kuala Lumpur.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan di mana kes baharu kluster ini yang merupakan pelanggan restoran tersebut telah dikesan.

“Beliau mengalami gejala sakit tekak dan sakit kepala sejak 17 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” kata kenyataan berkenaan.

Menurut KKM lagi, setakat ini, seramai 672 orang telah disaring, termasuk 16 pekerja dan 656 orang pelanggan.

“Daripada jumlah itu, tiga kes dikesan positif dan 669 individu negatif.

“Aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat sedang diteruskan,” katanya.