Polis nafi wujud konflik kepentingan babitkan s/u politik Anwar

Polis nafi wujud konflik kepentingan babitkan s/u politik Anwar

Muhammad Mustakim Ramli

Polis menegaskan Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid bukan bapa saudara kepada Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Penafian itu dibuat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Huzir Mohamed dalam kenyataan media malam tadi, susulan laporan di media sosial yang mengaitkan Mior Faridalathrash sebagai bapa saudara kepada setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

“Laporan berkenaan mengatakan semua kes (terdahulu) membabitkan Farhash dilepas begitu saja disebabkan terdapat conflict of interest (konflik kepentingan).

“Kes terbaharu membabitkan kes liwat Anwar dan Aidil Azim Abu Adam yang mana laporan itu mendakwa Mior Faridalathrash adalah pegawai penyiasat kes,” katanya.

Huzir berkata, semua kes membabitkan Anwar dan Farhash tidak pernah disiasat oleh Mior Faridalathrash sebaliknya disiasat pasukan khas siasatan.

Katanya, segala hala tuju dan keputusan siasatan diputuskan oleh pasukan khas siasatan berdasarkan bukti serta keterangan yang ada.

“Selain itu, beliau juga tidak pernah berjumpa dengan Farhash sebelum atau selepas siasatan.

“Semua keputusan siasatan untuk mendakwa atau sebaliknya adalah di bawah kuasa Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Justeru, katanya, tiada campur tangan dalam siasatan malah polis sentiasa mengambil pendekatan berkecuali dan profesional demi memastikan tiada pihak teraniaya sama ada dalam kes Farhash, Anwar serta Aidil mahupun kes lain yang disiasat.


Kredit Foto: FB Farhash Wafa Salvador