PRN Sabah: Limus dijangka pertahan Kuala Penyu atas tiket Bersatu

PRN Sabah: Limus dijangka pertahan Kuala Penyu atas tiket Bersatu

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury yang kini menyertai Bersatu, dijangka mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, bulan depan.

Ketua Bahagian Bersatu Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih mengesahkan Limus yang juga bekas Ketua Bahagian Upko Beaufort menyertai Bersatu bulan lalu dan dilantik Bendahari Bersatu Bahagian Beaufort.

“Ya, benar, Limus sudah diterima dalam Bersatu. Beliau menghantar borang permohonan melalui Setiausaha Agung Bersatu tidak lama selepas keluar Upko pada Jun lalu,” katanya ketika dihubungi Malaysia Post.

Limus bersama penyandang DUN Sugut, Datuk James Ratib mengumumkan keluar daripada Upko untuk menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong PN pada Jun lalu.

Beberapa hari lalu, Limus dan James serta beberapa lagi penyandang DUN yang keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada akhir Julai lalu dilaporkan memohon menyertai Bersatu.

Antaranya ialah Datuk Masiung Banah (Kuamut), Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Bolkiah Ismail (Pitas) dan Datuk Saddi Abdul Rahman (Sukau).

Mereka berlima dikatakan bertemu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyertai Bersatu bagi membolehkan bertanding pada PRN.

Sementara itu, Isnin yang juga penyandang kerusi DUN Klias berkata beliau dan Limus patut dikekalkan sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRN kali ini.

Kerusi DUN Klias dan Kuala Penyu sebelum ini adalah kerusi tradisi Umno dan Upko ketika di bawah Barisan Nasional (BN).

“Ya, Bersatu akan mempertahankan kerusi DUN Klias dan akan bertanding juga di Kuala Penyu sebab kita adalah penyandang di kedua-dua kerusi,” katanya.

Isnin memenangi kerusi DUN Klias pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atas tiket BN mewakili Umno, manakala Limus menyandang kerusi DUN Kuala Penyu sejak 2013 juga atas tiket BN mewakili Upko.