PRN Sabah: Mahkamah tolak permohonan semakan kehakiman bubar DUN

PRN Sabah: Mahkamah tolak permohonan semakan kehakiman bubar DUN

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini menolak permohonan semakan kehakiman 33 penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung keputusan Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan DUN pada 30 Julai lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim membuat keputusan itu selepas selesai mendengar permohonan semakan yang bermula pada 7 Ogos dan bersambung Isnin lalu.

Permohonan semakan itu difailkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan 32 penyandang DUN yang menyokongnya dalam cubaan mengambil alih kerajaan negeri pada akhir bulan lalu.

Mahkamah membuat keputusan sama ada tindakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN pada 30 Julai lalu boleh dibicarakan atau tidak.

Semakan itu juga bertujuan mendapatkan injunksi berhubung pembubaran DUN dan mempersoalkan permohonan bertulis Mohd Shafie kepada Juhar bagi meminta pembubaran DUN pada 29 Julai lalu.

Peguam mewakili Musa dan 32 penyandang DUN yang lain membangkitkan isu bahawa Juhar tidak membubarkan DUN mengikut peruntukan Perlembagaan Sabah di bawah Perkara 21(2) dan Perkara 7(1) berkaitan ketua menteri hilang sokongan majoriti.

Mereka menamakan Juhar responden pertama, manakala Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan negeri, masing-masing sebagai responden kedua, ketiga dan keempat.

Juhar, Mohd Shafie dan kerajaan negeri diwakili Peguam Besar Negeri,  Brenndon Keith Soh, manakala Musa dan 32 yang lain diwakili Tengku Fuad Tengku Ahmad.