PRN Sabah: Musa dan 32 yang lain fail rayuan

PRN Sabah: Musa dan 32 yang lain fail rayuan

Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, bersama 32 penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) memfailkan rayuan selepas permohonan mereka membuat semakan kehakiman berkaitan pembubaran DUN Sabah ditolak Mahkamah Tinggi pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan peguam mereka, Tengku Fuad Tengku Ahmad, ketika ditanya langkah seterusnya yang akan diambil anak guamnya berikutan keputusan mahkamah hari ini.

Katanya, rayuan itu difailkan beberapa minit selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim, menyatakan keputusannya berhubung permohonan semakan kehakiman berkenaan.

Tengku Fuad berkata, rayuan itu dibuat kerana pihaknya tidak berpuas hati dengan penggunaan istilah `mohon’dan `nasihat’ yang dijadikan rujukan dalam isu pembubaran DUN oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Katanya, ada dua perkara dalam penghakiman hari ini iaitu hakim mendapati wujud satu lokus standi untuk membawa kes semakan kehakiman dan hakim juga membuat penemuan bahawa Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebenarnya hilang majoriti dan mempunyai dua pilihan, sama ada meletak jawatan atau bubarkan DUN.

“Bagaimanapun kami tidak bersetuju dengan penggunaan ayat hakim – nasihat dan mohon, kami akan membawa ini ke mahkamah rayuan sebab kami tidak melihat mohon dan nasihat sebagai satu perkara yang sama.

“Saya ingin memaklumkan yang notis rayuan telah dihantar oleh pejabat saya. Perjuangan ini diteruskan, kami belum berputus asa dan anak guam saya juga tidak berputus asa,” katanya.

Sementara itu, Peguam Besar Sabah, Brenddon Keith Soh, berkata berdasarkan penghakiman hari ini, tidak lagi timbul ketidakpastian mengenai PRN, sama ada ia perlu diteruskan atau tidak.

“Mahkamah telah menolak kes terhadap responden dan tiada semakan semula diberikan. Proses demokrasi pilihan raya diteruskan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tanggungjawab untuk memastikan PRN diadakan dalam tempoh 60 hari dari pembubarannya,” katanya.

Jelasnya, keputusan mahkamah hari ini menunjukkan pembubaran DUN adalah sah dan mengikut undang-undang serta seharusnya dihormati semua pihak.