Prosiding siasatan kes Nora Anne disiar secara langsung bermula Isnin

Prosiding siasatan kes Nora Anne disiar secara langsung bermula Isnin

Prosiding siasatan kes kematian remaja Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner, Kompleks Mahkamah Seremban akan disiarkan secara langsung dalam talian bermula Isnin ini.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Putrajaya dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan sesi prosiding akan disiarkan secara langsung di portal rasmi, YouTube dan Facebook.

“Orang ramai boleh mengikuti sesi prosiding melalui portal rasmi Badan Kehakiman Malaysia dan media sosial rasmi YouTube dan Facebook ‘The Malaysian Judiciary’ bermula 24 Ogos, jam 9 pagi.

“Badan Kehakiman akan mengadakan penstriman langsung mengenai prosiding berkenaan,” katanya.

Kesemua 64 saksi akan dipanggil memberi keterangan dan membantu siasatan bermula 24 hingga 28 Ogos dan bersambung 1 hingga 4 September ini.

Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos 2019 di sebuah resort di Pantai, Seremban.

Pada hari berikutnya, remaja berkenaan disedari hilang oleh ahli keluarganya sebelum mayatnya ditemui selepas 10 hari misi pencarian.