Selepas kisah tular, Alina Hassan syukur dapat banyak bantuan

Selepas kisah tular, Alina Hassan syukur dapat banyak bantuan

Penyanyi, Alina Hassan, bersyukur menerima bantuan pelbagai pihak termasuk sumbangan orang ramai serta penduduk tempat asalnya di Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka.

Alina, 52, tidak menyangka kisahnya tinggal di sebuah bilik kecil di Setapak, Kuala Lumpur yang tular tempoh hari mendapat tumpuan ramai pihak.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur ramai orang ingin membantu dengan memberi tajaan barang-barang rumah selepas kisah saya viral.

“Tapi yang paling saya terperanjat apabila dapat tahu orang kampung saya ada buat kutipan untuk saya,” katanya seperti dilaporkan mStar hari ini.

Penyanyi lagu Dingin tersebut memberitahu tidak pernah berkongsi tentang masalah yang dihadapinya kepada rakan-rakan di kampung.

Menurutnya, dia mendapat panggilan daripada seorang warga kampungnya yang berminat untuk memberi tajaan barangan kelengkapan rumah.

Kisah Alina yang pernah memenangi tempat ketiga pertandingan Mentor Otai 2018, tinggal di bilik sewa kecil di sebuah rumah kedai sejak dua tahun lalu mendapat reaksi banyak pihak.

Dia kini ditawarkan menyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak setelah permohonannya mendapat perhatian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).