Tiga kali jalani ujian Covid-19 – Khairuddin

Tiga kali jalani ujian Covid-19 – Khairuddin

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali memaklumkan bahawa beliau disahkan negatif Covid-19 sebanyak tiga kali.

Memetik laporan The Star, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, beliau membuat ujian Covid-19 ketika tiba dari Turki 7 Julai lalu, 13 hari kemudian dan pada 17 Ogos lalu untuk menghadiri acara di Istana Negara.

“Mandatori untuk membuat ujian swab sebelum dibenarkan masuk ke Istana,” katanya seperti dipetik laporan itu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan dari pelbagai pihak terhadapnya kerana tidak menjalani kuarantin selama 14 hari setelah pulang dari negara itu, awal bulan lalu.

Nama Khairuddin hangat diperkatakan selepas isu itu dibangkitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Parlimen pada 18 Ogos kerana dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Menurut media tempatan, baru-baru ini seorang wanita warga emas dihukum penjara sehari dan didenda RM8,000 selepas mengaku salah melanggar perintah kuarantin kendiri apabila tiba dari negara luar.

Selain itu, seorang pemilik restoran yang mencetuskan kluster Sivagangga di Kedah pula dihukum penjara lima bulan serta denda RM12,000 kerana kesalahan sama.