Tulisan Cina di papan tanda, DAP tunjuk wajah rasis sebenar

Tulisan Cina di papan tanda, DAP tunjuk wajah rasis sebenar

Nurul Huda Abhar

Tindakan Pemuda DAP Sarawak menampal tulisan Cina di beberapa papan tanda jalan di Kuching, semalam, menunjukkan wajah sebenar mereka yang rasis.

Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, jika sebelum ini DAP tidak bersetuju dengan dakwaan rasis dan anti Melayu, namun kini secara terang terangan mereka menolak Bahasa Melayu.

Menurutnya, tindakan pemimpin DAP jelas melanggar Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963, di mana kedudukan Bahasa Melayu dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkannya sebagai bahasa kebangsaan

“Jadi di mana perginya nilai dan semangat patriotik pemimpin DAP apabila cuba mencabar kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara. Ini tindakan biadab yang tidak boleh dimaafkan.

“Pemuda DAP Sarawak sewajarnya menghormati kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa perpaduan kepada rakyat negara ini yang berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mustafa Shah, perkara sebegini tidak patut berlaku dalam bulan kemerdekaan dan menjelang sambutannya pada 31 Ogos ini.

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap pemimpin DAP Sarawak yang bertindak memperlekehkan bahasa kebangsaan negara, katanya.