Warga emas terjun tingkat 9 patah tulang rusuk

Warga emas terjun tingkat 9 patah tulang rusuk

Seorang lelaki warga emas terselamat selepas dipercayai terjun dari tingkat sembilan sebuah flat di Sungai Ara, Georgetown hari ini.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari itu, individu berusia 74 tahun terbabit cedera di kepala dan patah tulang rusuk selepas terjatuh pada sengkuap (awning) di tingkat enam.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Rohaizal Abdul Aziz berkata bomba berjaya menurunkan mangsa dengan bantuan polis dan sukarelawan St John Ambulance.

“Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan patah tulang rusuk sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Rohaizal, mangsa kemudian di hantar ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan lanjut.

“Operasi menyelamat tamat pada jam 2.05 petang,” katanya.