Agihan kerusi PRU15 dibincang bersama PN

Agihan kerusi PRU15 dibincang bersama PN

AHLI Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan sekutunya akan berbincang dengan Perikatan Nasional (PN) untuk pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Kata beliau, fokus utama kumpulannya yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah untuk bersama rakan PN melawan Pakatan Harapan (PH).

“Kita harus ada perbincangan, ada mesyuarat, hormat antara rakan dalam gabungan dan inilah kekuatan yang ada dalam PN.

“Sebarang tindakan yang dibuat perlu ada consensus, tetapi yang penting 222 kawasan Parlimen ini akan kita tandingi lawan PH,” katanya yang dipetik laporan Free Malaysia Today.

Mengulas kedudukannya untuk kekal bertanding di Parlimen Gombak dalam pilihan raya akan datang, Mohamed Azmin berkata, perkara itu akan dibincang secara konsensus.

Ketika ditanya mengenai khabar angin Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan bertanding di Gombak, Azmin berkata, beliau sedia berdepan dengan siapa sahaja dari PH.

Katanya, jika Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali pun mahu bertanding di Gombak, juga tidak ada salahnya.

“Sesiapa pun boleh bertanding. Kalau Pejuang nak masuk Gombak silakan, akhirnya saya serah kepada pengundi Gombak, mereka akan tentukan bukan saya,” katanya.