Annuar jawab Mukhriz: Umno juga terpaksa tanggung masalah tol, Forex

Muhammad Afiq

Umno bukan saja terpaksa memikul masalah yang ditinggalkan Datuk Seri Najib Razak, bahkan pelbagai masalah ditinggalkan bekas Perdana Menteri sebelum itu termasuk isu kerugian Forex, tol dan penswastaan, kata Tan Sri Annuar Musa.

Setiausaha Agung BN itu dipercayai merujuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menjadi pengasas parti Pejuang.

Lebih malang lagi kata Annuar, mereka yang mencipta kekayaan dengan Umno bertindak melarikan diri apabila parti berdepan masalah.

“Bukan itu saja, kita turut memikul segala bebanan negara dari zaman sebelum DSN (Najib).

“Masalah tol, penswastaan, kerugian Forex dan lain-lain. Amat banyak, tapi kita tidak lari meninggalkan parti setelah sesetengah kaya raya lari dengan kekayaan masing-masing,” tulis Annuar dalam satu ciapan di Twitternya, hari ini.

Annuar dipercayai menjawab kritikan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berkata Umno perlu bertanggungjawab terhadap skandal disebabkan Najib.

Beliau turut memuat naik petikan kenyataan Mukhriz.

Dalam ciapan berasingan Annuar berkata Muafakat Nasional (MN) akan meneroka kerjasama dengan pelbagai parti dan badan bukan Melayu, bukan Islam.

Anggota Parlimen Ketereh itu berkata ia bagi membolehkan mereka menentang Pakatan Harapan (PH) secara satu lawan satu.

“Sekretariat MN yg kini di anggotai PAS, Umno Bersatu, akan membuat ‘engagement’ secara rasmi dengan pelbagai parti dan badan bukan Melayu dan bukan Islam untuk memperkasakan lagi saf berpadu menentang PH secara satu lawan satu,” katanya.

Sementara itu Annuar yang juga setiausaha bersama sekretariat MN berkata, Umno, PAS dan Bersatu harus berani meneroka politik norma baru.

“Umno, PAS dan Bersatu harus berani meneroka politik norma baru dan menawarkan tawaran baru untuk Malaysia.

“Kita ambil pendekatan yg inklusif, berpaksikan agenda rakyat,bertindak cemerlang dengan idea dan tawaran baru berasaskan pemikiran luar kotak,” katanya.