Covid-19: Lapan kes baharu, 5 penularan tempatan

Covid-19: Lapan kes baharu, 5 penularan tempatan

[Covid-19] KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak lapan kes baharu dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kes positif di Malaysia kini 9,257 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia kini adalah 183 kes dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.

Katanya, daripada lapan kes baharu yang dilaporkan, tiga adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu melibatkan satu warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara.

Tiga kes import tersebut adalah dari Bangladesh (1 kes di Kuala Lumpur); Belanda (1 kes di Sarawak); dan Filipina (1 kes di Sabah).

“Kesemua lima kes penularan dalam negara melibatkan warga Malaysia iaitu kes daripada Kluster Tawar di Kedah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, terdapat lapan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan dilaporkan hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 125 kes iaitu 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.