Indonesia terima vaksin Covid-19 November ini

Indonesia terima vaksin Covid-19 November ini

[Dunia] Indonesia dijangka menerima bekalan vaksin Covud-19 daripada China bermula November ini berikutan persetujuan syarikat biofarmaseutikal China, Sinovac Biotech (Sinovac) membekalkan 50 juta dos vaksin kepada negara itu.

Memetik laporan Agensi, bekalan vaksin CoronaVac itu akan tiba secara berperingkat mulai November ini hingga Mac tahun depan dengan anggaran 10 juta dos vaksin dibekalkan setiap bulan

Ketika ini negara-negara dia Asia Tenggara berusaha mendapatkan bekalan ketika kes jangkitan semakin meningkat.

Dalam lawatan ke China, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, berkata perjanjian awal sudah ditandatangani dengan Sinovac untuk pembelian dan pembekalan vaksin CoronaVac secara pukal dengan syarikat milik kerajaan, Bio Farma diberi akses keutamaan hingga akhir 2021.

“Indonesia melihat komitmen yang kuat daripada industri China untuk menjalin kerjasama,” katanya pada Khamis menerusi video.

Bio Farma dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata bekalan 50 juta vaksin secara pukal akan tiba secara berperingkat iaitu 10 juta setiap bulan mulai November ini.

Indonesia berusaha mendapatkan vaksin untuk 260 juta penduduknya selain mencari jalan membangunkannya sendiri di tengah keprihatinan beberapa negara sedang membangun yang berdepan persaingan mendapatkan akses kepada bekalan itu.

Indonesia melaporkan 2,197 kes jangkitan baharu COVID-19 pada Jumaat menjadikan jumlah kes kumulatif 149,408.

Data kementerian kesihatan menunjukkan 82 kematian baharu, dengan jumlah keseluruhan 6,500 kematian setakat ini, sekali gus tertinggi di Asia Tenggara.

Ujian fasa ketiga vaksin CoronaVac bermula minggu lalu di Indonesia membabitkan 1,620 sukarelawan.

Bio Farma terbabit dalam membangunkan vaksin dan menyatakan Indonesia seharusnya mempunyai kemampuan untuk menghasilkan 250 juta dos setahun pada akhir 2020.