Khairuddin dikompaun RM1,000 – KKM

Fitri Nizam

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah pun mengambil tindakan dengan mengenakan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Mengesahkan perkara itu, KKM dalam satu kenyataan hari ini berkata, Khairuddin dikenakan kompaun pada 7 Ogos lalu selepas didapati mengingkari Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 7) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta 342].

“Khairuddin pulang dari Turki pada 7 Julai. Sampel ujian swab kali pertama telah diambil pada hari yang sama dan didapati negatif.

“Ujian saringan Covid-19 kali kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, oleh kerana Khairuddin gagal mematuhi peraturan di bawah Akta 342, Pegawai Diberi Kuasa (PDK) telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 pada 7 Ogos lalu.

“Beliau telah menjelaskan kompaun tersebut,” katanya.

Isu Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus hangat diperkatakan pelbagai pihak termasuk parti pembangkang apabila didakwa tidak mematuhi perintah kuarantin selama 14 hari selepas pulang dari luar negara.

Ia juga menjadi perdebatan di Dewan Rakyat termasuk dalam kalangan netizen yang berang dengan tindakan Khairuddin yang berstatus Menteri.