‘Letterhead’ bukan untuk disalahguna – Annuar Musa

‘Letterhead’ bukan untuk disalahguna – Annuar Musa

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menegaskan surat ‘letterhead’ (kepala surat) rasmi bukan untuk disalahgunakan untuk urusan keluarga.

Tanpa memetik sesiapa, beliau meminta urusan berkaitan keluarga diketepikan, sebaliknya pihak yang berkenaan perlu memberi tumpuan kepada rakyat.

“Letterhead bukan untuk disalahgunakan… urusan keluarga tolong ketepikan, hentikan perkara tidak wajar.

“Tumpu berkhidmat untuk rakyat,” tulis Menteri Wilayah Persekutuan itu menerusi ciapan di Twitter malam tadi.

Beliau dipercayai merujuk kepada kepala surat daripada pejabat Timbalan Menteri Pertahanan yang tular di media sosial semalam.

Surat yang tular bertarikh 5 Jun 2020 itu ditandatangani Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Ia ditujukan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kendungan surat itu bertujuan meminta sokongan Menteri Pertahanan untuk melantik seorang individu, dipercayai anak kepada timbalan menteri sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga Berhad.

Surat permohonan dengan kepala surat pejabat Timbalan Menteri Pertahanan tular di media sosial.