Menteri dikompaun, marhaen dipenjara

Menteri dikompaun, marhaen dipenjara

Fitri Nizam

KOMPAUN RM1,000 yang dikenakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengundang komen sinis beberapa ahli politik.

Antara yang memberikan reaksi sinis terhadap hukuman itu adalah Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Mohamed Fadzil.

Ahli Parlimen Lembah Pantai menerusi akaun Twitter miliknya berkata, makcik yang melanggar perintah kuarantin dipenjara sehari dan didenda RM8,000.

“Menteri yang langgar kuarantin bebas ke sana ke sini dan hanya didenda RM1,000.

“Tahniah kerajaan PN (Perikatan Nasional) prihatin rakyat,” katanya yang turut menggunakan #AntaraDuaDarjat diciapannya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dengan sinis dengan ciapan ‘Kod diskaun yang cukup besar sekali #AkuMenteri’.

Selain itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil di akaun Facebook miliknya berkata ‘Menteri dikompaun, Marhaen dipenjara. Begitu adil kerajaan Melayu-Islam’.

KKM hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa Khairuddin sudah dikompaun sebanyak RM1,000 pada 7 Ogos lalu kerana ingkar perintah kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari luar negara.