Menteri pertahan surat sokongan Ikmal Hisham bukan salah guna kuasa

Menteri pertahan surat sokongan Ikmal Hisham bukan salah guna kuasa

Nilam Oshman

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan surat sokongan timbalanya Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz bukan salah guna kuasa.

Ismail berkata, jika Ikmal Hisham mahu malakukan salah guna kuasa beliau boleh terus meminta pihak Pharmaniaga melantik anaknya sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga.

“Sebenarnya ia tak perlu pun dihantar kepada saya surat tersebut ,sebab bagi Timbalan Menteri, ia juga boleh ‘direct’ menerusi LTAT (Lembaga Tabung Angkatan Tentera).

“Pelantikan BOD (Board Of Director) ni dari LTAT. Ramai mengatakan beliau menyalahgunakan kuasa kerana dia Timbalan Menteri tapi kalau dia salah guna kuasa patutnya ‘direct’ surat sokongan tak perlu melalui saya.

“Namun, beliau tidak menggunakan kuasanya untuk terus ke LTAT dan dia minta sokongan,” katanya selepas majlis perjumpaan Veteren Angkatan Tentera Malaysia di Felda Besout 2, Tanjung Malim, hari ini.

Sebelum itu, media melaporkan Ismail Sabri mengakui tentang kewujudan surat sokongan oleh Timbalan Menteri Pertahanan yang meminta anaknya dipertimbangkan untuk dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga.

Surat sokongan yang dihantar Ikmal kepada Ismail itu tular di media sosial sejak semalam.

Surat berkenaan ditujukan kepada Menteri Pertahanan bertarikh 5 Jun 2020 yang turut mengandungi tulisan tangan Ismail yang diminitkan kepada Pengerusi LTAT.

Sementara itu, Ismail berkata, sokongan pihaknya atau sesiapa sahaja tidak akan membantu kerana semua keputusan bergantung kepada LTAT.

“Sokongannya bukan bermaknanya dipenuhi, dalam kes ini saya melihat bahawa anaknya merupakan pemegang ijazah kejuruteraan dan juga usahawan berjaya yang difikirkan boleh membantu perniagaan tersebut.

“Namun difahamkan anak timbalan menteri itu tidak dilantik dan saya tidak mencampuri urusan pelantikan terserah kepada LTAT,” katanya.