Muhyiddin balas surat untuk sertai MN

Muhyiddin balas surat untuk sertai MN

Muafakat Nasional (MN) mengesahkan telah menerima jawapan balas yang ditulis Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyertai gabungan itu.

Ketika mengesahkan perkara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Bersatu telah menyatakan kesediaannya untuk menyertai MN.

“Saya boleh mengesahkan bahawa Muhyiddin telah menjawab surat itu menyatakan kesediaan Bersatu menjadi anggota di bawah MN.

“Kita sudah terima surat berkenaan, cuma kita belum sempat mengadakan persidangan lagi.

“Mungkin kita akan adakan mesyuarat bersama tiga parti dalam masa terdekat,” katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini Muhyiddin mengumumkan kesediaan parti itu untuk menyertai gabungan itu selepas mendapat restu Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Dua hari lalu, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan MN telah menghantar surat jemputan kepada Bersatu menyertai gabungan itu.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin berkata penyertaan PAS hanya sebagai parti penaja.

“Kita bukan menyertai, tapi untuk tubuhkan satu parti perlu ada penaja dan PAS adalah salah satu daripada penaja. Belum secara rasminya lagi siapa dalam PN.

“Satu-satu pakatan boleh didaftarkan atau tidak, tetapi kalau nak sertai pilihan raya ia perlu didaftarkan. Kalau tidak tak boleg pakai logo,” katanya.