‘Orang ramai gembira Umno, PAS dan Bersatu bergabung’

‘Orang ramai gembira Umno, PAS dan Bersatu bergabung’

Aiman Hanif

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa orang ramai gembira apabila tiga parti dominan orang Melayu iaitu Umno, PAS dan Bersatu bergabung di bawah Muafakat Nasional (MN).

Beliau berkata, keputusan Bersatu untuk menyertai MN diputuskan secara bersama dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) dengan turut mengambil kira suara majoriti di peringkat akar umbi.

“Saya nampak ia lebih merangsang kepada ahli di peringkat bawahan, tidak kira daripada parti Umno, PAS atau Bersatu.

“Orang ramai secara umum seronok mendengar cerita bahawa parti yang mewakili kaum Melayu ini bergabung.

“Tentunya ada pihak yang tidak berapa suka yang sebenarnya tidak mahukan penggabungan ini berlaku atas sebab tersendiri,” katanya dalam satu program di Tapah, hari ini.

Sebelum ini Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan yang parti itu akan memuktamadkan penyertaannya dalam MN.

Beliau berkata, keputusan Bersatu untuk menyertai MN telah mendapat persetujuan MPT parti itu.

Semalam, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan yang MN telah mengemukakan jemputan kepada Bersatu untuk menyertai gabungan itu.

Sementara itu mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Ahmad Faizal berkata kempen yang sudah memasuki hari ketujuh berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

“(Kempen) tiada masalah langsung, kita sangat selesa dengan kepimpinan Umno dan juga daripada PAS.

“Kami bergerak seiring walaupun saya akui di Slim, Umno lebih bergerak kerana calon mereka yang bertanding, tetapi sebenarnya di sebalik tabir kami bergerak seiring dengan jentera BN,” katanya.