Penyeludup lari, tinggalkan 750 bungkus daun ketum

Penyeludup lari, tinggalkan 750 bungkus daun ketum

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 750 bungkusan daun ketum seberat 141.2 kilogram bernilai lebih RM1,500, dipercayai cuba diseludup ke negara jiran, awal pagi semalam.

Kegiatan itu dipatahkan oleh bot peronda Zon Maritim Kuala Perlis selepas menerima maklumat daripada Pasukan Unmanned Aircraft Systems (UAS) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Pusat Operasi Maritim Zon Kuala Perlis.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, bot fiber tanpa nombor pendaftaran tersebut ditahan di perairan pada jarak 0.1 batu nautika dari muara Kuala Perlis, jam 4.42 pagi.

“Pemantauan yang dilaksanakan Tim UAS telah mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan melakukan aktiviti pemindahan barang di perairan Perlis.

“Salah sebuah bot menukar haluan ke daratan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa namun berjaya dipintas oleh bot Maritim Malaysia.

“Seorang tekong kemudian terjun ke laut dan berenang melarikan diri ke hutan bakau berhampiran, manakala sebuah lagi bot didapati tiada kesalahan dan dilepaskan selepas diperiksa,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Mohd Shafie berkata, pihaknya seterusnya merampas daun ketum dan bot fiber berserta enjin sangkut bergalah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM11,000.

Katanya, semua hasil rampasan termasuk bot dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Jika seseorang itu ditangkap, dia boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Kredit Foto: APMM