PRN Sabah: Bersatu tiada masalah dengan Umno

PRN Sabah: Bersatu tiada masalah dengan Umno

Awang Abdullah

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah tidak menghadapi masalah untuk bekerjasama dengan Umno bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor, sebaliknya berkata parti itu bekerjasama dengan semua parti yang bernaung di bawah Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan kemenangan dalam PRN itu.

Jelasnya, kerjasama itu merangkumi semua aspek persediaan untuk menghadapi PRN termasuk berkaitan soal agihan kerusi dalam kalangan parti di bawah PN dan Barisan Nasional (BN).

“Bersatu tiada masalah, kita sentiasa bekerjasama dengan Umno dan parti lain kerana yang penting ialah untuk capai kemenangan.

“Jadi saya juga berharap parti rakan supaya ambil pendekatan bijak, yang baik dan memuaskan hati rakyat untuk kita capai kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Tuaran Kali Pertama, hari ini.

Hajiji berkata demikian mengulas sejauh mana kerjasama Bersatu dengan Umno bagi menghadapi PRN bulan depan.

Mengenai agihan kerusi, katanya ia masih dibincangkan dengan pemimpin semua parti, namun dijangka diketahui sebelum penamaan calon yang dijadualkan pada 12 September depan.

“Bersatu ada pendekatan menang-menang, kita tidak boleh ambil semua, kita fikir juga kepentingan parti lain.

“Sebenarnya saya sudah jumpa Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin. Kita guna segala kebijaksanaan kita fikir yang terbaik untuk pilihan raya dan apa saja keputusan agihan kerusi,” katanya.

Katanya, satu mesyuarat PN akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan soal agihan kerusi dan perkara lain berkaitan persediaan pilihan raya.

Sementara itu, katanya rundingan juga masih dilakukan sama ada semua parti di bawah PN akan menggunakan satu lambang dan bendera pada PRN kali ini atau sebaliknya.