PRN Sabah: Bung Moktar tak kecil hati dipertikai Rahman

PRN Sabah: Bung Moktar tak kecil hati dipertikai Rahman

Awang Abdullah

PENGERUSI Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau tidak berkecil hati dengan tindakan Ketua Umno Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mempertikai pelantikannya sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sebaliknya, Ketua Umno Bahagian Kinabatangan itu menyifatkan, ia perkara biasa dihadapi Umno dan pemimpin sepertinya, namun tidak sedikitpun menjejaskan tugasnya sebagai ketua.

Bagaimanapun, katanya, Umno Sabah perlu memperbaiki masalah yang timbul berikutan tindakan Abdul Rahman itu dan yakin mampu ditangani secara baik.

“Kita hormati kepelbagaian pendapat, ‘no hard feeling’. Apa yang lebih penting ialah persediaan untuk menghadapi PRN.

“Masalah ini tidak dinafikan menjejaskan kita (Umno Sabah), tapi kita akan baiki, buat tinjauan dan Insya-Allah ia tidak buat gangguan besar terhadap kempen kita,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas UMNO Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

Sebelum ini, Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno mengadakan sidang media bersama 12 pemimpin parti itu di peringkat negeri bagi menyatakan bantahan terhadap pelantikan Bung Moktar yang disifatkan sebagai tidak sesuai kerana masih berdepan kes mahkamah.

Bung Moktar berkata, beliau kini hanya mahu menumpukan usaha memantapkan jentera parti di semua bahagian UMNO di Sabah bagi memenangi PRN.

“Umno ini bersistem, dua tiga orang tidak setuju tidak apa kerana kita hormati kepelbagaian pandangan. Selaku ketua, fokus kita ialah jentera parti,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Kinabatangan ini, walaupun ada pemimpin tidak sehaluan, ada pengganti boleh mengambil alih tugas menggerakkan jentera di bahagian terbabit.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, Umno Sabah akan menyelesaikan soal agihan kerusi untuk PRN bersama rakan parti lain sebelum akhir bulan ini.

“Agihan kerusi di antara parti belum muktamad, tetapi sedang dirunding dan tarikh akhirnya sebelum akhir bulan ini,” katanya.

Bagi BN, katanya, soal agihan kerusi juga akan dibincangkan sesama parti dalam komponen itu iaitu MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Katanya, pihaknya juga memutuskan mereka akan menggunakan lambang BN untuk bertanding pada PRN nanti.