Saya ada hantar surat lain, minta menteri batal sokongan – Ikmal Hisham

Saya ada hantar surat lain, minta menteri batal sokongan – Ikmal Hisham

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz mendakwa beliau menghantar surat lain bertujuan membatalkan surat mohon sokongan agar anaknya dilantik ahli lembaga pengarah Pharmaniaga Berhad.

Sambil menyatakan rasa kesal berhubung perkara itu, Ketua Bersatu Tanah Merah terbabit berkata surat kedua itu bagi memaklumkan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya membatalkan sokongan.

“Seingat saya, saya ada buat satu lagi surat minta menteri menarik balik cadangan permohonan saya itu dan maklumkan kepada menteri supaya batalkan.

“Malah saya telah maklumkan kepada LTAT (Lembaga Tabung Angkatan Tentera) supaya tidak melantik di mana-mana pengurusan,” katanya selepas persidangan Bersatu Tanah Merah di Kelantan hari ini, seperti dilaporkan Malaysiakini.

Ikmal Hisham berkata beliau sebenarnya boleh menghantar surat terus kepada pengerusi LTAT, namun menghormati menteri dengan bertanya pendapat dan sokongan terlebih dahulu.

“Walaupun ada surat sokongan, lantikan tetap tertakluk kepada syarikat selain mengikut kemampuan dan kelayakan pemohon,” katanya.

Beliau berkata anaknya juga sudah dimaklumkan berhubung perkara itu sebelum ini, apatah lagi surat berkenaan telah lama, iaitu bertarikh 5 Jun.

“Saya terkejut apabila surat ini tular, tambahan pula, apabila ia berlaku sehari sebelum hari pemilihan, tetapi saya berfikiran positif dan beranggapan mungkin ia hanya kebetulan,” katanya.

Sejak semalam heboh di media sosial, apabila surat Timbalan Menteri Pertahanan dan nota sokongan daripada Ismail Sabri Yaacob tular.

Antara lain, Ikmal Hisham meminta Ismail Sabri untuk menyokong anaknya, Ikmal Hazlan supaya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga Berhad.