Sebuah lagi gereja diubah jadi masjid di Turki

Sebuah lagi gereja diubah jadi masjid di Turki

[Dunia] Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam mengarahkan sebuah lagi gereja lama Ortodok yang bertukar muzium popular di Istanbul, diubah menjadi masjid bagi kegunaan umat Islam beribadat.

AFP melaporkan Keputusan mengubah Muzium Kariye kepada masjid dibuat sebulan selepas kontroversi transformasi Hagia Sophia, juga sebuah bekas gereja, menjadi masjid.

Pertukaran status muzium yang diiktiraf Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu menerima kecaman Barat, terutama Greece.

Kedua-dua perubahan itu mencerminkan usaha Erdogan bagi menggembirakan penyokongnya yang bersifat konservatif dan nasionalis ketika Turki bergelut dengan inflasi dan ketidakpastian ekonomi akibat Covid-19.

Kementerian Luar Greece menyifatkan keputusan itu sebagai satu lagi provokasi terhadap individu beragama oleh kerajaan Turki.

Sejarah bangunan berusia 1,000 tahun itu hampir sama dengan Hagia Sophia yang terletak di tebing barat bersejarah muara Golden Horn di wilayah Istanbul yang bersebelahan dengan Eropah.

Gereja The Holy Saviour adalah gereja zaman Byzantine abad pertengahan yang dihiasi lukisan dinding abad ke-14 berunsur sejarah Kristian yang amat dihargai di serata dunia.

Ia kemudian ditukar menjadi Masjid Kariye setengah abad selepas penaklukan Constantinople oleh Empayar Uthmaniyyah Turki pada 1453.

Ia kemudian bertukar menjadi Muzium Kariye selepas Perang Dunia II, selaras usaha Turki menjadi lebih sekular dengan menyisihkan saki baki pengaruh Empayar Uthmaniyyah.