Sevilla muncul juara Liga Europa kali keenam

Sevilla muncul juara Liga Europa kali keenam

Sevilla mengukuhkan statusnya sebagai raja Liga Europa apabila muncul juara buat kali keenam setelah menewaskan Inter Milan 3-2 pada aksi final di Cologne, Jerman, awal pagi tadi.

Penyerang Belgium, Romelu Lukaku memecahkan kebuntuan menerusi penalti setelah hanya tiga minit perlawanan untuk memberi kelebihan kepada Inter.

Bagaimanapun aksi kembali seimbang setelah Luuk de Jong menyamakan kedudukan melalui tandukan hanya selepas 12 minit.

De Jong sekali lagi menjaringkan gol dengan kepalanya untuk membolehkan Sevilla pula mendahului.

Namun, hanya tiga minit kemudian, Inter bertindak balas apabila Diego Godin menyamakan kedudukan dengan tandukan dari sepakan percuma

Diego Carlos, yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Inter pada awal perlawanan, muncul wira apabila sepakan guntingnya terkena Lukaku sekali gus memastikan kejuaraan buat Sevilla.