Tak perlu ahli politik dalam GLC, rakyat tak suka

Tak perlu ahli politik dalam GLC, rakyat tak suka

Fitri Nizam

Tak perlu ahli politik memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana rakyat tak suka, kata Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan.

Mengulas mengenai surat sokongan ‘bapa untuk anak’ yang menjadi isu ketika ini, Shahril berkata, ia adalah satu tindakan tidak wajar.

“Tiada justifikasi untuk surat-surat macam ni apatah lagi membabitkan pertalian keluarga.

“Kalau sahih la benda ni, elok dia batalkan hasrat atau kalau dah dilantik, resign (letak jawatan),” katanya menerusi laman Twitter miliknya malam tadi.

Beliau berkata, adalah lebih baik jika ahli politik tidak lagi diberikan jawatan dalam GLC.

“Kalaupun rasa diri memang layak sebab selain politik, hebat korporat ka, profesional ka, itu pun fikir 100 kali dulu. Rakyat memang tak suka,” katanya lagi.

Semalam heboh di media sosial, apabila surat Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan nota sokongan daripada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob tular.

Antara lain, Ikmal Hisham meminta Ismail Sabri untuk menyokong anaknya, Ikmal Hazlan supaya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga Berhad.

Sementara itu, EXCO Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikebali sebagai Papagomo berkata, yang bersalah dalam isu ini adalah ‘bapa’ kerana menggunakan kedudukannya untuk kepentingan keluarga.

“Kita bercakap soal integriti, malangnya masih ada pemimpin dalam kerajaan yang tak peduli malah melacurkannya untuk tembolok sendiri.

“Adalah wajar timbalan menteri berkenaan meletakkan jawatan dan berundur terus dari politik.

“Letak jawatan Dato Seri Ikmal Hisham Timbalan Menteri Pertahanan. (BERSATU),” katanya di Facebook.