228 pengunjung leka berhibur dikompaun

228 pengunjung leka berhibur dikompaun

Fitri Nizam

Taktik merantai pintu masuk pusat hiburan kononnya tidak beroperasi gagal apabila 228 pengunjung dua premis di ibu negara itu ditahan, awal pagi tadi.

Dalam operasi jam 1 pagi di premis hiburan di ibu negara, polis mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa lesen.

Serbuan dijalankan sepasukan empat pegawai dan 24 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

Menyedari kehadiran pihak berkuasa, ada pengunjung yang cuba melarikan diri.

Serbuan di premis pertama, polis menahan 50 lelaki dan 27 wanita yang berusia antara 18 hingga 45 tahun.

Pengurus premis berusia 20 tahun juga ditahan untuk siasatan lanjut.

Manakala di premis kedua, seramai 116 lelaki dan 35 wanita ditahan.

Polis turut merampas beberapa peralatan antaranya LED Video Processor, komputer riba, CPU, pembesar suara dan monitor di dua pusat hiburan untuk tindakan lanjut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 kurungan satu, Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perkara 11, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Kesemua pengunjung yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan dikenakan denda RM1,000 setiap seorang.- MalaysiaPost