Abim: Budaya surat sokongan merendahkan martabat orang Melayu

Abim: Budaya surat sokongan merendahkan martabat orang Melayu

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (Abim) menyelar perbuatan memberi surat sokongan bagi mendapat jawatan ataupun projek yang dilihat akan melemahkan orang Melayu dan Bumiputera.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata ia juga menjadi penyebab kegagalan orang Melayu dan Bumiputera dalam ekonomi negara.

“Tindakan memberi surat sokongan ini menyebabkan hanya kelompok tertentu sahaja meraih peluang ekonomi, sekali gus menafikan potensi mobilisasi sosial dalam kalangan rakyat.

“Abim menyelar tindakan itu kerana ia terus menjadi kesinambungan kepada kegagalan memartabat orang Melayu dan rakyat secara keseluruhan.

“Ia juga adalah pencemaran dalam agenda mengangkat martabat orang Melayu dan Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isu surat sokongan hangat diperkatakan apabila terdedah satu surat membabitkan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang meminta sokongan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya anaknya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga Berhad.

Pendedahan mengenai surat sokongan itu mendapat kritikan hebat warganet.

Bagaimanapun Ismail berkata beliau tidak meneruskan “sokongan” kepada anak timbalannya itu kerana bimbang akan wujud amalam nepotisme.

Semalam, Ikmal Hisham berkata beliau telah menghantar surat lain bagi menarik balik surat sokongan berkenaan.

Dalam pada itu, Muhammad Faisal berkata budaya berkenaan tidak memberi apa-apa keuntungan kepada bangsa Melayu.

“Ia tidak memberikan apa-apa keuntungan ataupun meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu kerana dimanipulasi untuk membentuk kelompok Melayu elit,” katanya lagi.- Malaysiapost