BN akan bergabung dengan LDP dan SAPP bagi menghadapi PRN Sabah

BN akan bergabung dengan LDP dan SAPP bagi menghadapi PRN Sabah

BARISAN Nasional (BN) akan membentuk sebuah gabungan dengan Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Maju Sabah (SAPP) untuk Pilihan Raya Negeri Sabah, kata Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi

Zahid berkata, perkembangan terbaru Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, beliau yakin bahawa perundingan akan diteruskan dengan beberapa parti di negeri Sabah di mana semua pihak sedang memulakan rundingan untuk pembahagian kerusi di sana.

“Oleh kerana kita memahami 73 kerusi Dewan Undangan Negeri di Sabah akan dipertandingkan maka kami merasakan kerjasama di antara Umno dan PBRS yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Sabah akan duduk bersama-sama dengan parti-parti yang lain seperti PBS dan juga Star.

“Perundingan-perundingan juga akan diadakan dengan parti yang lain di Sabah termasuk LDP, SAPP dan juga SCS.

“InshaAllah, kita akan membentuk sebuah gabungan parti-parti ini bersama dengan BN Sabah supaya terdapat satu gabungan hanya parti-parti politik di Sabah dan kami akan mengemukakan ‘the new deal’ melalui manifesto khusus bagi pengundi-pengundi negeri Sabah,” katanya selepas Program Ramah Mesra Bersama Pengundi India, Bilik Gerakan MIC, Slim River Perak hari ini.

Katanya lagi, MCA yang juga merupakan salah satu komponen BN, termasuk dalam pembahagian kerusi di Sabah.

“Kita juga memperkirakan MCA yang akan turut terlibat dalam pembahagian kerusi akan datang,” katanya.

Selain itu, beliau turut yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Bung Mokhtar yang merupakan pengerusi BN Sabah dan juga diberikan kepercayaan untuk melakukan koordinasi sebagai pengarah pilihan raya di Sabah.

“Saya juga memutuskan bahawa Tan Sri Annuar Musa akan menjadi ketua koordinator pilihan raya di Sabah bersama-sama Datuk Seri Ahmad Maslan agar dapat membantu jentera pilihan raya BN Sabah bersama dengan rakan-rakan lain.

“Justeru, kita merasakan bahawa rundingan terhadap kerusi-kerusi di Sabah ini akan dimuktamadkan selewat-lewatnya seminggu sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Zahid juga merupakan Pengerusi BN, beliau berharap di Sabah, rakyat akan berikan sokongan kepada parti dan lambang BN teruskan digunakan.

“Khususnya pengundi-pengundi di sana yang amat rindukan BN maka kami yakin lambang BN akan diterima semula.

“Namun, jika ada parti-parti mahu bekerjasama dengan BN, mahu menggunakan lambang parti masing-masing kita akan rundingkan agar pertandingan dua penjuru sahaja yang akan diizinkan antara parti-parti yang bergabung dengan BN bersama-sama BN Sabah menentang calon Warisan.

“Saya harap Datuk Seri Bung Mokhtar dapat menyelesaikan permasalahan di Sabah dan yakin beliau boleh menyelesaikannya.

“Jika ada perbezaan pendapat di kalangan kepimpinan di Sabah, saya harap beliau selesaikan segera dan ambil pendekatan agar semua pihak bersama-sama memberikan dokongan kepada pelaksanaan jentera di Sabah,” katanya. – Malaysia Post