Covid-19: 2 kes baharu melibatkan Kluster Tawar

Covid-19: 2 kes baharu melibatkan Kluster Tawar

Fitri Nizam

Kluster Tawar terus mencatatkan pertambahan dengan dua kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan melaporkan terdapat 10 kes baharu dikesan sehingga jam 12 tengah hari ini membabitkan lapan kes import dan dua penularan tempatan.

10 kes baharu ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 9,267 orang manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 183 kes.

Pada masa sama, terhadap 10 kes yang telah pulih sepenuhnya dicatatkan hari ini.

KKM memaklumkan lapan kes yang mendapat jangkitan di luar negara itu membabitkan tiga warganegara Malaysia manakala lima lagi bukan warganegara.

“Lapan kes itu adalah membabitkan dari Jepun dan Indonesia masing-masing tiga kes, Maldives dan Mexico masing-masing satu kes.

“Sementara itu, dua kes penularan dalam negara adalah membabitkan warganegara Malaysia iaitu dari kluster Tawar di Kedah,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sehingga kini, terdapat sembilan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), sementara empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada pertambahan jumlah kematian dilaporkan hari ini menjadikan ia kekal 125 kes. – Malaysiapost