Ibu bapa hanya buat yang terbaik untuk anak

Ibu bapa hanya buat yang terbaik untuk anak

KADANG kala ibu bapa akan melakukan apa yang difikirkan terbaik untuk anak mereka.

Demikian luahan Exco Pemuda Umno Malaysia, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham berhubung isu surat sokongan yang menjadi polemik sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, sebagai anak, dia tahu niat bapanya itu baik walaupun berpandangan berbeza.

“Kita hanya mampu berterima kasih atas niat mereka itu,” katanya mengulas laporan berita berbahasa Inggeris berkaitan penyesalan bapanya, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri
Ikmal Hisham Abdul Aziz mengenai surat sokongan berkenaan.

Luahan itu dimuatnaik di laman sosial Twitter miliknya hari ini.
Isu itu hangat diperkatakan apabila sepucuk surat sokongan daripada Ikmal Hisham kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta supaya Ikmal Hazlan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga Bhd, tular di media sosial baru-baru ini.

Semalam, Ikmal Hisham tampil menjelaskan keadaan dan menyatakan kekesalannya terhadap isu surat bertarikh 5 Jun itu dan sudah membatalkan hasrat berkenaan. – MalaysiaPost