Kolam tadahan, saliran penyelesaian masalah banjir Kampung Klah

Kolam tadahan, saliran penyelesaian masalah banjir Kampung Klah

KERAJAAN Perak mahu membina kolam tadahan dan saliran bagi menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi penduduk Kampung Klah di Sungkai.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, masalah banjir itu merupakan masalah yang dimajukan kepada kerajaan negeri.

Jelas beliau, memang dalam perancangan Pejabat Tanah dan Daerah serta Jabatan Pengairan dan Saliran untuk menyelesaikan masalah banjir.

“Sempena lawatan saya dan rakan ke sini, maka datang kawasan ini dan kita telah rancangkan bagi menyelesaikan masalah banjir di situ.

“What we are doing, kita perlu adakan satu kolam tadahan dan juga satu saliran ke sungai Klah,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Media PRK DUN Slim.

Ahmad Faizal berkata, perkara itu memang dirancang awal, dia mahu melihat perkembangan dan proses ini sudahpun bermula.

Oleh itu, katanya, beliau memikirkan untuk jangka masa pendek, kerajaan negeri meluluskan peruntukan kira-kira RM200,000.

“Saya fikir JPS perlu melalui proses tender dan sebagainya. Itulah saya pergi tengok dengan pegawai-pegawai JPS,” katanya.

Apabila ditanya berkaitan banjir di Kampung Tengah berdekatan Kuala Slim, katanya, beliau telah melawat kawasan itu dan melihat masalah lama yang telah dilakukan penambahbaikan, tetapi belum mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan masalah berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai gula-gula pilihan raya, beliau menjelaskan, keprihatinan kerajaan negeri membantu rakyat bukanlah gula-gula politik, tetapi atas dasar tanggungjawab.

“Saya perlu jalankan tanggungjawab sebagai menteri besar dan kerajaan negeri berfungsi sepanjang masa,” ujarnya.- MalaysiaPost