PDRM buka kertas siasatan terhadap Khairuddin

PDRM buka kertas siasatan terhadap Khairuddin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kerana gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari Turki pada 7 Julai.

Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan perkara itu kepada Bernama TV, hari ini.

Katanya, 27 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung perkara berkenaan, setakat ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan Mohd Khairuddin dikompaun RM1,000 selepas gagal mematuhi kuarantin wajib mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Mohd Khairuddin sudah menjelaskan kompaun itu.

Sementara itu Utusan Malaysia melaporkan,
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mendakwa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu.

Beliau berkata, pihaknya telah melihat pelbagai sudut berhubung keputusan kompaun RM1,000 di bawah Akta Pencegahan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

“Yang itu (denda RM1,000) sudah diselesaikan. Tan Sri DG (Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) dah komen dalam twitter.

“Kita telah tengok pelbagai sudut untuk kompaun maksimum RM1,000 di bawah Akta 342, kalau ada (pihak berkuasa) nak dakwa lain itu terpulang,” katanya selepas menyempurnakan Program Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Prihatin 10gara Selamat di Dewan Raya Felda Bukit Besar, Kualai hari ini.- Malaysiapost