PRN Sabah: Hentikan politik jijik, beri tauladan positif – Janrywine

PRN Sabah: Hentikan politik jijik, beri tauladan positif – Janrywine

Awang Abdullah

PENYANYI ‘Macam Di KK’ meluahkan berasa malu dan jijik dengan cara berpolitik menggunakan strategi serangan peribadi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Janrywine J Lusin yang sebelum ini mengumumkan turut bertanding pada PRN itunanti, berkata pendekatan itu harus dihentikan kerana ia tidak baik untuk dijadikan tauladan kepada golongan muda selaku pelapis masa depan.

Jelasnya, pemimpin politik sepatutnya bersikap matang dan menjadikan perdebatan politik sebagai satu cara untuk mendidik pengundi dan golongan belia kepada perkara yang positif serta membawa kebaikan.

“Topik perdebatan dalam gelanggang politik Sabah ketika ini tidak memberikan didikan yang positif kepada pengundi muda yang baru belajar memahami kepentingan politik dalam mencorak hala tuju pentadbiran sesebuah kerajaan. 

“Mereka yang menggelar diri sebagai pemimpin telah melakar ‘didikan awal’ kepada generasi muda dengan isu-isu yang remeh, malah tidak terkecuali yang bermotifkan serangan peribadi dan perkauman semata-mata dan tidak masuk akal,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu.

Beliau mengulas mengenai perdebatan politik menjelang PRN kebelakangan ini yang banyak berbalas tuduhan mengenai pelbagai isu di antara pemimpin.

Jelasnya, Malaysia yang bakal mencapai usia 57 tahun pada 16 September depan seharusnya mempamerkan kematangan dalam mengetengahkan agenda politik serta isu yang ingin dibawa dalam kempen. 

Katanya, usia 57 tahun negara adalah sangat muda dan masih perlu banyak perancangan pembangunan sosio-ekonomi seperti negara Asia yang lain. 

“Malangnya, semakin hari isu yang hangat dijaja oleh pelbagai pihak parti yang bakal bertanding pada PRN Sabah lebih kepada isu peribadi dan suku kaum individu tertentu dengan tujuan ingin menjatuhkan air muka dan reputasi sebagai seorang calon.

“Saya secara peribadi berasa amat malu dan jijik dengan pendekatan strategi serangan peribadi seumpama ini. 

“Adakah ini yang ingin kita perkenalkan kepada Malaysia bahawa strategi ini adalah normal? Inikah juga yang akan kita didik kepada bakal pengundi baharu bahawa ‘anda harus bermain kotor untuk menang dalam kempen politik?’ 

“Adakah ini yang turut terkandung dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan? Di mana letaknya kedudukan atau untuk membincangkan kepentingan isu berkaitan sosio-ekonomi dan politik dalam merangka agenda pembangunan negara yang kini kritikal,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Orang Seni Sabah (Post’s), berkata kebanyakan golongan muda kecewa dengan senario politik semasa itu.

Katanya, isu dalam kempen yang akan bermula selepas penamaan calon pada 12 September depan sepatutnya boleh menjadi medan menjana formula bagi mendepani permasalahan semasa negeri dan negara.

“Ini yang sebenarnya belia dahagakan kerana mereka bukan lagi seperti ‘katak di bawah tempurung’. Meski ada pihak yang mengatakan ‘welcome to the politics world ’, janganlah kita sengaja sajikan belia dengan agenda tidak matang yang boleh merosakkan identiti bangsa dan negara. 

“Kita sentiasa mempunyai pilihan untuk memupuk nilai-nilai positif kepada bakal pelapis pentadbiran negara amnya dan negeri Sabah yang tercinta khasnya,” katanya. – Malaysia Post