PRN Sabah: ‘Saya tak bina bangunan tinggi, saya bina nilai baik’ – Shafie

PRN Sabah: ‘Saya tak bina bangunan tinggi, saya bina nilai baik’ – Shafie

Awang Abdullah

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan beliau memberi tumpuan kepada usaha membina nilai kehidupan berbanding bina bangunan pencakar langit sepanjang dua tahun pemerintahannya.

Jelasnya, hanya dengan amalan yang baik itu barulah kerajaan dapat menyediakan masa depan terbaik kepada generasi akan datang.

“Saya tidak bina hotel, itu bukan milik saya. Saya tidak bina bangunan tinggi tetapi saya membina nilai-nilai yang baik dalam kalangan Sabahan,” katanya di Majlis Pecah Tanah Dewan Sekolah Menengah Advent di Tamparuli, Tuaran, hari ini.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Itu berkata, aspek nilai kehidupan tidak kelihatan, namun ia penting untuk kehidupan dan masa depan rakyat Sabah.

“Kalau kita bina bangunan tinggi-tinggi pencakar langit tetapi akhirnya kita bertelingkah, bergaduh, berperang, apa maksud itu untuk generasi akan datang. 

“Satu perkara yang menjadi asas kepada pentadbiran ialah diversiti dalam kepemimpinan kerana hanya dengan menghargai kepelbagaian kaum yang ada barulah perpaduan di negeri ini dapat dikekalkan,” katanya.

Sebab itu, beliau berkata, jawatan penting dalam kerajaan terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum yang ada di negeri berkenaan.

Beliau memberi contoh, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan adalah orang Dusun dari Ranau, manakala Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) pula orang Cina.

“Saya bukan nilaikannya sebab kaum dia, agama dia tetapi saya menilai perkhidmatan mereka sebab jika mereka boleh buat kerja yang baik, Sabah akan jadi negeri yang sejahtera.

“Berapa banyak Ketua Menteri yang memandang tinggi Kristian, saya umum Krismas sebagai cuti umum di Sabah, tidak pernah, bukan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Tiada kerajaan lain buat tetapi di bawah kerajaan Warisan, kita umumkan Krismas sebagai cuti umum,” katanya.

Tahun lalu, Mohd Shafie mengumumkan dua hari cuti Krismas iaitu pada 24 dan 25 Disember berbanding hanya sehari sebelum ini bagi memudahkan penganut Kristian di negeri itu menyambut perayaan berkenaan.

Tambahnya, segelintir pemimpin politik masih memainkan persoalan apa yang dilakukan Warisan selama memerintah, namun hakikatnya pemerintahan kerajaan terdahulu lebih teruk.

Sebagai contoh, katanya, lebih 570 sekolah daif wujud di Sabah disebabkan pemimpin terdahulu tidak mempunyai nilai yang cukup untuk memperjuangkan hak rakyat.

“Saya pergi Long Pasia, tandas sekolah pun tiada, budak mahu buang najis, mahu kencing lari pergi atas bukit, kasihan budak-budak ini.

“Bilik guru pun tidak ada, saya beritahu dengan guru besar supaya bina,” katanya.

Menurutnya, banyak lagi yang akan dilakukan kerajaan pimpinan Warisan untuk kepentingan rakyat Sabah. – Malaysia Post