Sokong PN, tolak PH – Azmin Ali

Sokong PN, tolak PH – Azmin Ali

Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyeru rakyat agar terus menyokong Perikatan Nasional (PN) dan menolak Pakatan Harapan (PH).

Azmin berkata, rakyat telah memberi peluang kepada PH memerintah kerajaan persekutuan dan negeriselama 22 bulan namun mereka gagal kerana tidak mampu membela rakyat.

Katanya, jika penularan wabak COVID-19 berlaku pada zaman pemerintahan PH, kemungkinan lebih ramai rakyat menderita.

Jelas beliau penderitaan itu bukan kerana wabak COVID-19 tetapi disebabkan kerajaan PH.

“Ketika zaman PH, apabila meminta wang, mesti mereka mengatakan tiada dan susah untuk memberi semula kepada rakyat.

“Tetapi kita tengok hari ini dalam pentadbiran kerajaan PN, masalah itu tidak timbul demi membantu rakyat,” katanya ketika melawat Bilik Gerakan MIC Pusat Daerah Mengundi.

Menurut Azmin yang juga merupakan Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), perkara ini merupakan satu agenda besar negara demi menjaga kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

“Pengumuman Perdana Menteri sebanyak RM295 Billion untuk memberi suntikan dan menjana kembali ekonomi negara akibat pandemik COVID-19 membuktikan kekuatan kerajaan PN.

“Kita bina sebuah kerajaan baharu hari ini bagi semua kaum malah berharap rakyat terutama di kawasan ini menyokong kerajaan PN melalui undi kepada BN pada 29 Ogos ini,” katanya.

“Inilah semangat bangsa negara yang mahu kita bina untuk rakyat supaya semua kaum dapat kemudahan yang secukupnya dan semua ini hanya dapat dilakukan di bawah kerajaan PN sahaja,” katanya. – MalaysiaPost