Tiada ‘kluster Khairuddin’, kata Timbalan Presiden PAS

Tiada ‘kluster Khairuddin’, kata Timbalan Presiden PAS

PAS dilihat cuba mempertahankan tindakan pemimpinnya Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali yang gagal mematuhi perintah kuarantin wajib Covid-19 apabila menegaskan tiada “kluster Khairuddin” ditemui Kementerian Kesihatan (KKM).

Memetik laporan Malaysiakini, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man beranggapan bahawa isu itu sudah selesai.

“Dia dah bayar kompaun maksimum RM1,000… dia ini tiada kluster.

“Dia dah buat swab test (ujian sapuan) dan kesilapan dia itu pun dah bayar kompaun apa semua,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian sumbangan khas dan kit Covid-19 kepada sekolah-sekolah peringkat Parlimen Kubang Kerian di Kota Bharu, hari ini.

Anggota Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pemergian Khairuddin ke Turki sebelum ini dalam pengetahuan parti atau sebaliknya.

Terdahulu Khairuddin yang juga anggota parlimen Kuala Nerus dikompaun RM1,000 atas kesalahan gagal menjalani kaurantin kendiri sebalik pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu juga memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia serta menyumbangkan gajinya selama empat bulan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Covid-19).- Malaysiapost