Zahid, Hadi sependapat Slim petunjuk sokongan rakyat pada PRU15

Zahid, Hadi sependapat Slim petunjuk sokongan rakyat pada PRU15

Dua pemimpin Muafakat Nasional (MN) yang berkongsi pentas ceramah malam ini, sependapat Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim akan menjadi petunjuk kepada kemampuan gabungan itu meraih sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara itu senada dinyatakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Ceramah Perdana Muafakat Nasional di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi Slim River, Perak malam ini.

“Saya lihat PRK Slim sebagai petunjuk PRU15, saya bukan nujum atau tukang tilik politik, tetapi insya-Allah mandat baru harus dicari bagi membuktikan seluruh pengundi dan rakyat akan beri mandat baharu kepada kerajaan PN.

“Kita nak buktikan kerajaan ini (PN) bukan kerajaan pintu belakang, insya-Allah kita akan dapat mandat baru.

“Untuk itu menifestasi dari PRK Slim ini sebagai asas melihat trend sokongan pengundi pada PRU15 nanti,” kata Ahmad Zahid.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata walaupun kerajaan sekarang tiada manifesto, beliau yakin kerajaan yang bakal dibentuk pada PRU15 nanti akan menawarkan aku janji yang terbaik kepada rakyat.

“Tuan guru (Abdul Hadi) dan saya sering mengadakan pertemuan enam mata dengan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassi)  untuk memperkukuh MN yang usianya genap setahun pada 14 September ini,” katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi berkata beliau yakin momentum kemenangan dalam beberapa PRK sebelum ini akan diteruskan di Slim, sebelum dibawa untuk berdepan PRU15.

“PRK Slim maknanya sangat besar. Orang slim kena sedar ini undi Slim jadi penentu (trend sokongan) PRU15,” katanya.

Abdul Hadi berkata PAS dan Umno tidak pernah melakukan khianat mahupun penipu rakyat apabila mengambil alih kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH), Februari lalu.

Sebaliknya katanya penyatuan bersama Umno menerusi MN dilakukan demi kestabilan politik, selain menyelamat rakyat daripada terus ditipu kerajaan terdahulu.

“Kita dituduh khianat, menipu… kita tak tipu, mereka yang tipu rakyat, buat manifesto harga minyak turun 24 jam, PTPTN dan tol dihapuskan. Bukan mudah, ini bukan lampu aladdin,” katanya.

Beliau berkata melalui MN, Umno dan PAS serta Bersatu tidak mahu lagi melihat undi rakyat berpecah hingga akhirnya menimbulkan suasana tidak stabil seperti yang berlaku pada PRU14. – Malaysia Post