3 sekeluarga maut nahas 3 kenderaan

3 sekeluarga maut nahas 3 kenderaan

TIGA sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 37 Jalan Klang-Teluk Intan, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.45 malam itu, pemandu Honda City, Nurkhalisah Ali Yusri, 24, bersama ibu, Anni Kholilah, 42 dan adiknya, Nur Syafiqah Ali Yusri, 17, maut di lokasi kejadian.

Nahas turut mengakibatkan pemandu kenderaan pacuan empat roda Nissan Frontier berusia 40 tahun parah dan dihantar ke Hospital Tanjung Karang (HTK) untuk rawatan.

Pemandu Perodua Viva berusia 24 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata siasatan awal mendapati Nurkhalisah memandu Honda City dari arah Tanjong Karang menuju ke Pelabuhan Klang, manakala Nissan Frontier dari Klang ke Kuala Selangor.

“Tiba di lokasi, Nissan Frontier dipercayai masuk ke haluan bertentangan dan bertembung dengan Honda City.

“Perodua Viva yang berada di belakang Honda City cuba mengelak dua kenderaan itu sebelum melanggar sisi hadapan kanan Nissan Frontier,” katanya, hari ini.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa kemalangan.

Ramli berkata, kemalangan mengakibatkan tiga mangsa di dalam Honda City meninggal dunia, manakala pemandu Nissan Frontier berada dalam keadaan kritikal di HTK.

“Semua mangsa yang maut dibawa ke HTK dan bedah siasat dijalankan pada jam 1.30 pagi tadi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Malaysia Post